27 Mac 2010

Pengasas Pondok Ampang Jeneri jadi Tokoh Pendakwah sempena Maulidul Rasul

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR – Pengasas Pondok Ampang Jeneri, daerah Sik, Tuan Guru Haji Zakaria Ismail, 73, dinobatkan sebagai Tokoh Pendakwah pada sambutan Maulidur Rasul 1431H Peringkat Negeri Kedah.

Pendakwah yang disegani ini telah dilahirkan pada 16 Jun 1937 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jeneri, Sik, seterusnya melanjutkan pelajaran di sekolah Pondok Tuan Guru Haji Majid.

Dalam usaha mendalami ilmu agama, beliau telah berhijrah ke Sekolah Agama Irsyadiah, Sungai Bakap. Ilmu yang beliau perolehi telah dicurahkan kepada masyarakat dengan mengajar ilmu-ilmu agama kepada pelajar-pelajarnya serta seluruh masyarakat.

Beliau turut menjadi pakar rujuk dalam bidang agama atas kematangan ilmu yang dimilikinya serta penguasaan Bahasa Arab yang baik.

Bapa kepada dua cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan Hajjah Hajar Mohd Zain mempunyai perwatakan yang mudah berbicara, suka bergurau dan remah menjadikan beliau mudah mesra dengan sesiapa sahaja.

Tenaga yang dicurahkan sebagai dalam mendidik masyarakat, beliau telah dianugerahkan sebagai Guru Cemerlang Negeri Kedah pada tahun 1991.

Atas khidmat serta kesungguhan dalam menyebarkan ilmu agama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah telah perkenan menobatkan beliau sebagai Tokoh Pendakwah pada tahun ini.

Manakala Tokoh Imam telah dianugerahkan kepada Imam Masjid Qariah Kampung Sena, Mukim Tobiar daerah Pendang, Haji Abdul Samad Abdul Hamid, 81.

Atas ilmu agama yang dimilikinya, KDYMM Tuanku Sultan Kedah telah diperkenankan untuk melantik beliau sebagai Imam Masjid Qariah Kampung Sena sejak 4 Ogos 1971. Beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Qariah dan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk

Tiada ulasan:

Catat Ulasan